Agama itu nasihat

Agama itu nasihat

Daripada Tamīm al-Dārī رضي الله عنه bahawa Nabi ﷺ bersabda: "Agama itu nasihat" Kami bertanya: "Untuk siapa?" Baginda menjawab: "Untuk Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya, para pemimpin umat Islam dan seluruh kaum Muslimin."

الشرح

Nabi ﷺ mengkhabarkan bahawa agama ini berdiri di atas keikhlasan dan kebenaran, sehingga ia ditunaikan sebagaimana yang diwajibkan oleh Allah dengan sempurna tanpa sebarang kecuaian atau penipuan. Lalu ditanya kepada Nabi ﷺ: “Untuk siapa nasihat itu?” Lalu Baginda bersabda: Pertama: Nasihat untuk Allah سبحانه وتعالى Iaitu dengan mengikhlaskan segala amalan hanya untuk-Nya, tidak mensyirikkan-Nya dengan sesuatu pun, beriman dengan keesaan-Nya dalam rububiyyah dan uluhiyyah-Nya, serta dengan nama-nama dan sifat-sifat-Nya. Begitu juga dengan mengagungkan perintah-Nya dan menyeru manusia supaya beriman kepada-Nya. Kedua: Nasihat untuk kitab-Nya iaitu al-Quran al-Karim dengan meyakini bahawa ia merupakan kalam-Nya dan kitab terakhir-Nya, serta ia menghapuskan semua syariat sebelumnya. Kita mestilah mengagungkannya, membacanya dengan bacaan yang benar, mengamalkan ayat-ayat yang jelas hukumnya, menerima ayat-ayat yang samar maknanya, mempertahankannya daripada takwilan golongan yang menyeleweng, mengambil pengajaran daripada peringatan-peringatannya, menyebarkan ilmunya dan mengajak manusia kepadanya. Ketiga: Nasihat untuk Rasul-Nya Muhammad ﷺ dengan meyakini bahawa baginda adalah penutup para rasul, membenarkan apa yang baginda bawa, mentaati perintahnya, menjauhi larangannya, tidak beribadah kepada Allah kecuali dengan apa yang disyariatkannya, mengagungkan haknya, memuliakannya, menyebarkan dakwahnya, menyebarkan syariatnya serta menolak segala tuduhan terhadapnya. Keempat: Nasihat untuk para pemimpin umat Islam dengan membantu mereka menegakkan kebenaran, tidak merampas kuasa daripada mereka, mendengar dan taat kepada mereka dalam perkara ketaatan kepada Allah. Kelima: Nasihat untuk seluruh kaum Muslimin Dengan berbuat baik kepada mereka, mengajak mereka kepada kebaikan, menahan diri daripada menyakiti mereka, mengasihi mereka dengan menginginkan kebaikan untuk mereka, serta bekerjasama dengan mereka dalam perkara kebaikan dan ketakwaan.

فوائد الحديث

Perintah untuk memberi nasihat kepada semua pihak.

Kedudukan nasihat yang sangat agung dalam agama.

Agama Islam merangkumi aspek akidah, ucapan dan perbuatan.

Antara bentuk nasihat ialah membersihkan hati daripada tipu daya terhadap orang yang dinasihati serta menginginkan kebaikan untuknya.

Keindahan cara pengajaran Rasulullah ﷺ adalah dengan baginda memulakan sesuatu secara umum, kemudian menghuraikannya secara terperinci.

Mendahulukan perkara yang paling penting, di mana Nabi ﷺ memulakan dengan nasihat untuk Allah, kemudian untuk kitab-Nya, kemudian untuk Rasul-Nya ﷺ, kemudian untuk pemimpin umat Islam dan (akhirnya) untuk seluruh kaum Muslimin.