إعدادات العرض
Islam ialah engkau bersaksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu Rasul Allah, engkau mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadan dan mengerjakan haji ke Baitullah jika engkau mampu melaksanakannya
Islam ialah engkau bersaksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu Rasul Allah, engkau mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadan dan mengerjakan haji ke Baitullah jika engkau mampu melaksanakannya
Daripada ʿUmar bin al-Khaṭṭāb رضي الله عنه berkata: Ketika kami sedang duduk bersama Rasulullah صلى الله عليه وسلم pada suatu hari, tiba-tiba muncul seorang lelaki yang sangat putih pakaiannya, sangat hitam rambutnya, tidak kelihatan padanya tanda-tanda permusafiran, dan tiada seorang pun daripada kami yang mengenalinya. Dia duduk berhadapan dengan Nabi صلى الله عليه وسلم, lalu merapatkan kedua-dua lututnya kepada lutut Baginda dan meletakkan kedua-dua tangannya di atas kedua peha baginda, seraya berkata: "Wahai Muhammad, beritahulah aku tentang Islam." Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: "Islam ialah engkau bersaksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu Rasul Allah, engkau mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadan dan mengerjakan haji ke Baitullah jika engkau mampu melaksanakannya." Dia berkata: "Benar." ʿUmar berkata: "Kami merasa hairan kepadanya, dia bertanya tetapi dia juga membenarkannya." Dia berkata: "Beritahulah aku tentang iman." Baginda صلى الله عليه وسلم bersabda: "Engkau beriman kepada Allah, para malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, para rasul-Nya, hari akhirat, dan engkau beriman kepada takdir yang baik mahupun yang buruk." Dia berkata: "Benar." Dia berkata: "Beritahulah aku tentang ihsan." Baginda صلى الله عليه وسلم bersabda: "Engkau beribadah kepada Allah seolah-olah engkau melihat-Nya, jika engkau tidak dapat melihat-Nya, maka sesungguhnya Dia melihatmu." Dia berkata: "Beritahulah aku tentang hari kiamat." Baginda صلى الله عليه وسلم bersabda: "Orang yang ditanya tidak lebih mengetahui tentangnya berbanding orang yang bertanya." Dia berkata: "Beritahulah aku tentang tanda-tandanya." Baginda صلى الله عليه وسلم bersabda: "Apabila seorang hamba melahirkan tuannya, dan apabila engkau melihat orang-orang yang tidak berkaki ayam, tidak berpakaian, dan miskin, pengembala kambing, berlumba-lumba meninggikan bangunan." ʿUmar berkata: "Kemudian lelaki itu pun pergi, lalu aku diam beberapa ketika. Setelah itu Baginda صلى الله عليه وسلم berkata kepadaku: "Wahai ʿUmar, tahukah engkau siapa orang yang bertanya tadi?" Aku berkata: "Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui." Baginda صلى الله عليه وسلم bersabda: "Sesungguhnya dia adalah Jibril, dia datang untuk mengajar kamu tentang agama kamu."
الترجمة
العربية Bosanski English Español فارسی Français Bahasa Indonesia Русский Türkçe اردو 中文 हिन्दी বাংলা Kurdî Hausa Português മലയാളം తెలుగు Kiswahili தமிழ் සිංහල မြန်မာ Deutsch 日本語 پښتو Tiếng Việt অসমীয়া Shqip Svenska Čeština ગુજરાતી Yorùbá Nederlands ئۇيغۇرچە دری Fulfulde Magyar ಕನ್ನಡ Кыргызча Lietuvių or Română Kinyarwanda Српски тоҷикӣ O‘zbek Moore नेपाली Oromoo Wolof Soomaali Български Українська Azərbaycan Tagalog Bambara ქართული Македонски Ελληνικά ភាសាខ្មែរ Akan አማርኛ Italiano Malagasy ไทย मराठी ਪੰਜਾਬੀ Lingalaالشرح
Umar bin al-Khattab رضي الله عنه menceritakan bahawa Jibril عليه السلام datang kepada para sahabat رضي الله عنهم dalam rupa seorang lelaki yang tidak dikenali. Antara sifatnya ialah pakaiannya yang sangat putih dan rambutnya yang sangat hitam. Tidak kelihatan padanya tanda-tanda permusafiran seperti kepenatan, debu, rambut kusut atau pakaian yang kotor, dan tiada seorang pun daripada mereka mengenalinya. Ketika itu mereka sedang duduk bersama Nabi صلى الله عليه وسلم. Lalu dia duduk di hadapan Nabi صلى الله عليه وسلم sebagaimana duduk seorang penuntut ilmu, lalu dia bertanya baginda tentang Islam. Nabi صلى الله عليه وسلم menjawab dengan menyebut rukun-rukunnya yang merangkumi pengakuan dua kalimah syahadah, menjaga solat lima waktu, menunaikan zakat kepada yang berhak, berpuasa pada bulan Ramadan dan menunaikan ibadah haji bagi yang berkemampuan. Lelaki itu berkata: “Benar.” Para sahabat pun berasa hairan kerana dia bertanya seolah-olah tidak mengetahui, namun kemudian dia sendiri membenarkan jawapan tersebut. Kemudian lelaki itu bertanya kepada Nabi صلى الله عليه وسلم tentang iman. Baginda menjawab dengan menyebut enam rukun iman yang merangkumi keimanan kepada kewujudan Allah ﷻ dan sifat-sifat-Nya, mengesakan-Nya dalam perbuatan-Nya seperti mencipta dan mengesakan-Nya dalam ibadah; beriman kepada para malaikat yang diciptakan oleh Allah daripada cahaya, yang merupakan hamba-hamba-Nya yang dimuliakan, tidak menderhakai-Nya dan sentiasa melaksanakan perintah-Nya; beriman kepada kitab-kitab yang diturunkan oleh Allah kepada para rasul-Nya, seperti al-Quran, Taurat, Injil dan lain-lain; beriman kepada para rasul yang diutus untuk menyampaikan agama Allah, antaranya Nuh, Ibrahim, Musa, Isa dan yang terakhir Muhammad صلى الله عليهم وسلم serta nabi dan rasul yang lain; beriman kepada hari akhirat, yang merangkumi peristiwa selepas kematian seperti alam kubur dan kehidupan barzakh, bahawa manusia akan dibangkitkan selepas mati dan dihisab, lalu ditentukan tempatnya sama ada di syurga atau di neraka dan beriman bahawa Allah telah menetapkan segala sesuatu berdasarkan ilmu-Nya yang terdahulu, mengikut hikmah-Nya, telah ditulis-Nya, dikehendaki-Nya, terjadi seperti yang telah ditetapkan dan Dialah yang menciptakannya. Kemudian lelaki itu bertanya kepada Nabi صلى الله عليه وسلم tentang ihsan. Baginda menjelaskan bahawa ihsan ialah beribadah kepada Allah seolah-olah seseorang itu melihat-Nya. Jika dia tidak mencapai kedudukan tersebut, maka hendaklah dia beribadah kepada Allah (dengan penuh kesedaran) bahawa Allah sentiasa melihatnya. Kedudukan yang pertama dinamakan martabat musyahadah, iaitu martabat yang paling tinggi, manakala yang kedua dinamakan martabat muraqabah. Kemudian lelaki itu bertanya kepada Nabi صلى الله عليه وسلم: “Bilakah berlaku hari kiamat?” Maka Baginda menjelaskan bahawa pengetahuan tentang waktu berlakunya kiamat adalah daripada perkara ghaib yang hanya Allah mengetahuinya. Tiada seorang pun dalam kalangan makhluk yang mengetahuinya, sama ada yang ditanya mahupun yang bertanya. Setelah itu lelaki itu bertanya tentang tanda-tanda kiamat? Nabi صلى الله عليه وسلم menjelaskan bahawa antara tanda-tandanya ialah banyaknya hamba perempuan dan anak-anak mereka, atau banyaknya anak yang menderhakai ibu mereka sehingga memperlakukan mereka seperti hamba. Selain itu, para pengembala kambing dan golongan fakir miskin akan diberikan keluasan dunia pada akhir zaman, lalu mereka berbangga-bangga dalam menghias dan membina bangunan yang megah. Akhirnya Nabi صلى الله عليه وسلم memberitahu bahawa lelaki yang bertanya itu ialah Malaikat Jibril عليه السلام yang datang untuk mengajar para sahabat رضي الله عنهم tentang agama Islam yang suci ini.فوائد الحديث
Akhlak Rasulullah صلى الله عليه وسلم yang mulia, baginda duduk bersama para sahabat رضي الله عنهم dan mereka juga duduk berhampiran dengan baginda.
Pensyariatan untuk berlemah-lembut terhadap orang yang bertanya dan mendekatinya, supaya dia dapat bertanya dengan tenang tanpa rasa segan atau takut.
Adab bersama guru, sebagaimana yang dilakukan oleh Jibril عليه السلام ketika duduk di hadapan Nabi صلى الله عليه وسلم dengan penuh sopan untuk mengambil ilmu daripadanya.
Rukun Islam ada lima, dan asas iman ada enam.
Apabila Islam dan iman disebut secara bersama, maka Islam ditafsirkan dengan perkara-perkara zahir, manakala iman ditafsirkan dengan perkara-perkara batin.
Penjelasan bahawa agama ini memiliki beberapa darjat: Darjat pertama ialah Islam, kedua ialah iman, dan ketiga ialah ihsan, yang merupakan darjat tertinggi.
Asal bagi orang yang bertanya adalah tidak mengetahui, dan kejahilanlah yang mendorong seseorang untuk bertanya. Oleh itu, para sahabat رضي الله عنهم berasa hairan dengan soalan lelaki tersebut dan kemudian dia sendiri membenarkannya.
Memulakan dengan perkara yang paling utama, kemudian diikuti dengan yang seterusnya kerana penjelasan tentang Islam dimulai dengan dua kalimah syahadah, manakala penjelasan tentang iman dimulai dengan iman kepada Allah.
Orang yang berilmu boleh ditanya tentang perkara yang penyoal sendiri sudah tahu, dengan tujuan agar orang lain dapat mempelajarinya.
Ilmu tentang waktu berlakunya kiamat adalah perkara yang hanya Allah sahaja mengetahuinya.