Wahai hamba-hamba-Ku! Sesungguhnya Aku telah mengharamkan kezaliman ke atas Diri-Ku, dan menjadikannya haram antara kamu semua, maka janganlah kamu menzalimi antara satu sama lain

Wahai hamba-hamba-Ku! Sesungguhnya Aku telah mengharamkan kezaliman ke atas Diri-Ku, dan menjadikannya haram antara kamu semua, maka janganlah kamu menzalimi antara satu sama lain

Daripada Abu Zar رضي الله عنه: Bahawa Nabi صلى الله عليه وسلم menceritakan daripada Allah تبارك وتعالى bahawa Dia berfirman: “Wahai hamba-hamba-Ku! Sesungguhnya Aku telah mengharamkan kezaliman ke atas Diri-Ku, dan menjadikannya haram antara kamu semua, maka janganlah kamu menzalimi antara satu sama lain. Wahai hamba-hamba-Ku! Kesemua kamu dalam keadaan sesat kecuali orang yang Aku berikan hidayah kepadanya, maka mintalah petunjuk daripada-Ku, nescaya Aku tunjukkan kepadamu. Wahai hamba-hamba-Ku! Kesemua kamu dalam keadaan lapar kecuali orang yang Aku beri makan, maka mohonlah makanan daripada-Ku, nescaya Aku beri kamu makan. Wahai hamba-hamba-Ku! Kesemua kamu dalam keadaan telanjang kecuali orang yang Aku pakaikan, maka mintalah pakaian daripada-Ku, nescaya Aku mengurniakan pakaian kepadamu. Wahai hamba-hamba-Ku! Sesungguhnya kamu melakukan kesalahan pada siang dan malam, dan Aku mengampuni segala dosa, maka mohonlah ampun daripada-Ku, nescaya Aku ampunkan dosa-dosamu. Wahai hamba-hamba-Ku! Kamu tidak akan dapat memudaratkan-Ku sehingga boleh menyebabkan Aku terkena mudarat, dan kamu tidak akan dapat memberi manfaat kepada-Ku sehingga Aku mendapat manfaat tersebut. Wahai hamba-hamba-Ku! Sekiranya seluruh kamu daripada permulaan hingga penghujung, manusia dan jin, memiliki sebaik-baik hati seorang manusia, ia tidak akan menambah apa-apa pada kerajaan-Ku. Wahai hamba-hamba-Ku! Sekiranya seluruh kamu dari permulaan hingga penghujung, manusia dan jin, memiliki sejahat-jahat hati seorang manusia, ia tidak akan mengurangkan apa-apa daripada kerajaan-Ku. Wahai hamba-hamba-Ku! Sekiranya seluruh kamu, manusia dan jin, berkumpul di satu tempat dan meminta daripada-Ku, lalu Aku memberi setiap seorang apa yang dimintanya, tidak akan berkurang sedikit pun daripada milik-Ku, kecuali seperti jarum yang dimasukkan ke dalam laut. Wahai hamba-hamba-Ku! Sesungguhnya ia hanyalah amalan-amalanmu yang akan Aku kira, kemudian Aku akan membalasnya kepadamu. Sesiapa yang mendapat kebaikan, hendaklah dia memuji Allah, dan sesiapa yang mendapat selain itu, janganlah dia menyalahkan selain dirinya sendiri.”

الشرح

Nabi صلى الله عليه وسلم menjelaskan bahawa Allah سبحانه وتعالى berfirman bahawa Dia telah mengharamkan kezaliman ke atas Diri-Nya sendiri, dan menjadikannya haram di antara makhluk-Nya, maka tidak seorang pun boleh menzalimi yang lain. Seluruh makhluk berada dalam keadaan sesat daripada jalan yang benar kecuali dengan hidayah dan petunjuk Allah, dan sesiapa yang meminta petunjuk-Nya, Allah akan memberi kefahaman dan memberi hidayah kepadanya. Semua makhluk dalam keadaan fakir dan memerlukan Allah dalam semua keperluan mereka, dan sesiapa yang memohon kepada Allah, Dia akan memenuhi hajatnya dan mencukupkannya. Manusia melakukan dosa pada siang dan malam, dan Allah سبحانه وتعالى menutup aib serta mengampuni dosa-dosa mereka apabila mereka memohon ampun kepada-Nya. Mereka tidak mampu memberi mudarat atau manfaat kepada Allah dengan apa jua cara sekalipun. Sekiranya seluruh manusia dan jin memiliki hati paling takwa sekalipun, tidak akan menambah apa-apa pada kerajaan Allah. Dan sekiranya mereka memiliki hati paling jahat sekalipun, tidak akan mengurangkan sedikit pun daripada kekuasaan-Nya; kerana mereka lemah dan fakir kepada Allah, sentiasa memerlukan-Nya dalam setiap keadaan, masa dan tempat, sedangkan Dia Maha Kaya سبحانه. Sekiranya seluruh manusia dan jin, dari yang pertama hingga yang terakhir, berkumpul di satu tempat dan memohon kepada Allah dan Allah memenuhi permintaan masing-masing, itu tidak mengurangkan sedikit pun dari apa yang ada pada-Nya — ibarat jarum yang dimasukkan ke dalam laut, apabila dikeluarkan tidak mengurangkan laut sedikit pun — ini menunjukkan kesempurnaan kekayaan-Nya سبحانه. Bahawa Allah سبحانه mencatat setiap amal hamba-Nya dan menghitungnya, kemudian membalas mereka dengan sempurna pada hari kiamat. Maka sesiapa yang mendapati balasan amalnya adalah kebaikan, hendaklah dia memuji Allah atas petunjuk dan taufik-Nya dalam ketaatan. Sesiapa yang mendapati balasan amalnya sebaliknya, maka tidak boleh menyalahkan sesiapa selain dirinya sendiri, iaitu nafsu amarah yang menuntunnya ke arah kerugian.

فوائد الحديث

Hadis ini termasuk yang diriwayatkan oleh Nabi ﷺ daripada Allah, dan disebut sebagai hadis qudsi atau ilahi. Lafaznya daripada Nabi ﷺ, tetapi maknanya daripada Allah. Ia berbeza dengan al-Quran kerana tidak memiliki sifat-sifat al-Quran seperti kewajipan membaca dengan ibadah, kesucian, sifat mukjizat dan cabaran serta keistimewaan lain.

Segala yang diperoleh hamba berbentuk ilmu atau petunjuk adalah hasil hidayah dan pengajaran Allah.

Segala kebaikan yang menimpa hamba adalah daripada kebaikan Allah, manakala segala keburukan yang menimpanya berpunca daripada dirinya sendiri dan hawa nafsunya.

Sesiapa yang berbuat baik, ia kerana taufik Allah dan balasannya adalah kelebihan daripada Allah, maka bagi-Nya segala pujian. Sesiapa yang berbuat buruk, maka tidak boleh menyalahkan sesiapa selain dirinya sendiri.